mengapa orang pandai dan malas merupakan pemimpin yang hebat
- chino333
- May 10, 2016
- 5 min read
“I divide my officers into four groups. There are clever, diligent, stupid, and lazy officers. Usually two characteristics are combined. Some are clever and diligent — their place is the General Staff. The next lot are stupid and lazy — they make up 90 percent of every army and are suited to routine duties. Anyone who is both clever and lazy is qualified for the highest leadership duties, because he possesses the intellectual clarity and the composure necessary for difficult decisions. One must beware of anyone who is stupid and diligent — he must not be entrusted with any responsibility because he will always cause only mischief.” - Erich von Manstein
Bila kita cerita pasal pemalas yang berjaya, Pakcik tak boleh elak untuk petik kata-kata Jeneral Erich von Manstein kat atas. Untuk pengetahuan semua, Jeneral Erich von Manstein adalah seorang Komander Wehrmacht Jerman (bersamaan dengan jawatan Fil Marsyal Tentera Darat) yang disegani oleh kawan dan lawan dan merupakan salah seorang strategist tentera terbaik semasa perang dunia ke-2 dulu.
Berikut adalah petikan daripada artikel yang telah di tulis oleh Ben Breen berkenaan matrix Jeneral Erich von Manstein. Perhatian: Artikel ini langsung tidak berniat atau bertujuan untuk melabel mana-mana individu baik yang hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

Bodoh dan malas
Von Manstein menganggap bahawa 90% daripada kakitangannya bodoh dan malas. Golongan ini akan diberikan kepada mereka tugas-tugas rutin. Bagaimana ini diaplikasikan kepada organisasi korporat kita hari ini?
Kerja-kerja rutin yang sebelum ini dilaksanakan oleh orang-orang bodoh dan malas secara perlahan-lahan telah menjadi automatik, dibuat secara 'outsource' atau secara 'crowdsource'. Dalam erti kata lain ianya menjadi semakin kurang berbaloi untuk terus mengambil pekerja yang bodoh dan malas.
Jika seseorang itu bodoh dan malas dalam apa jua yang mereka kerjakan pada hari ini, apa yang perlu dia lakukan? Saya cadangkan dia bertukar kepada sesuatu yang dia pandai. Cepat, sebelum kerja anda menjadi automatik atau dibuat secara 'outsource'.
Macam mana? Cuba daftar pada mana-mana 'website' untuk 'crowdsource'. Contoh: Mechanical Turk di Amazon. Saya pasti Amazon sangat berbesar hati menerima anda sebagai seorang pekerja. Tetapi hati-hati, 'crowdsourcer' ni kerap mengemaskini rating 'pekerja' mereka.
Sebaliknya, sebagai pemilik perniagaan dengan tugas-tugas rutin yang perlu dilakukan, ia adalah lebih berbaloi untuk mencuba cara 'crowdsourcing' seperti di laman web seperti Mekanikal Turk ni.
Bodoh tapi rajin
Von Manstein percaya bahawa golongan ini hanya akan menyebabkan kerosakan dan perlu dipecat dengan segera.
Malangnya, saya banyak kali telah terjumpa golongan ini dan saya pasti anda juga begitu.
Saya pernah bekerja di beberapa tempat di mana majikan syarikat tersebut melihat diri mereka sebagai berprestij, bergaji tinggi dan orang ramai sanggup berebut-rebut untuk bekerja dengan mereka. Di sini saya telah melihat satu amalan yang dikenali sebagai 'berlakon'. Pekerja dengan sengaja datang bekerja awal, bekerja di meja mereka sehingga melampaui waktu makan tengah hari dan pulang lewat malam dengan harapan dapat dilihat oleh bos atau klien sebagai 'pekerja yang sentiasa sibuk'. Sebenarnya kebanyakan daripada golongan ini hanya melayari laman web, media sosial atau berbual-bual kosong sebaik sahaja bos atau klien hilang dari pandangan.
Apa yang golongan ini sangat utamakan adalah penampilan mereka yang kelihatan sangat sibuk. Selalu mencipta kerja sia-sia untuk diri sendiri atau orang lain, agar tampak sentiasa sibuk. Ramai dari golongan ini sebenarnya malas serta bodoh dan kesannya adalah sama. Ianya hanya memberi gambaran yang golongan ini sentiasa bekerja keras. Berlakon.
Mengapa mereka berbuat begitu? Kerana ianya adalah pemikiran zaman perkilangan dahulu. Terbawa-bawa dengan sikap Zaman Perindustrian di mana anda bukan pekerja yang baik kecuali jika anda sentiasa letih kerana bekerja keras sepanjang masa. Pemikiran zaman perkilangan ini telah dibawa ke kerja-kerja pejabat, oleh sebab itu mereka perlu dilihat sibuk sepanjang masa. Jika ini adalah pekerjaan yang anda ceburi maka kerja anda akan bakal menjadi 'automated' atau secara 'outsource'.
Masalah ini diburukkan lagi oleh 'Peter Principle'; satu konsep di dalam teori pengurusan yang di ilhamkan oleh Laurence J. Peter. Teori ini mengatakan bahawa seorang pekerja "cenderung untuk meningkat kepada tahap ketidakcekapan". Ini dirangsang oleh pemikiran zaman perkilangan tadi. Telah banyak kali terjadi di mana sesuatu individu yang telah dinaikkan pangkat daripada bahagian operasi ke bahagian pengurusan boleh berubah daripada cekap atau mahir kepada sebaliknya. Walau sekuat mana mereka bekerja atau nampak bekerja, mereka tetap gagal kerana kerja-kerja pengurusan bukanlah sesuatu yang mereka pandai atau mahir. Kitaran ini akan berulang-ulang and sedar tak sedar anda dikelilingi oleh golongan bodoh yang semuanya cuba untuk kelihatan lebih sibuk daripada yang lain.
Apa sahaja kerja yang telah disiapkan oleh golongan ini adalah sia-sia atau tidak berkesan. Tidak hairanlah Von Manstein langsung enggan memberi golongan ini sebarang peluang.
Apa yang perlu dilakukan dengan golongan ini? Perkara terbaik adalah menugaskan semula (reassign) mereka supaya mereka dapat melakukan sesuatu yang mereka pandai atau mahir. Daripada menaikkan pangkat seorang perkerja operasi yang bagus untuk menjadi seorang pengurus pertengahan yang bodoh, berikan mereka lebih banyak pengiktirafan dan ganjaran kerana kekal sebagai pekerja operasi yang pandai atau mahir. Jika anda tidak boleh membantu mereka untuk menjadi lebih pandai maka mereka perlu dilepaskan pergi. Samada mereka atau anda.
Pandai dan Rajin
Kalau boleh kita semua mahu bekerja dengan golongan ini, betul tak?
Von Manstein meletakkan golongan ini dalam pengurusan pertengahan. Selamat. Dipercayai. Salah satu alat dalam sistem yang memastikan semuanya berjalan dengan lancar. Mereka setia mengikuti arahan dan tanpa sebarang soalan.
Masalahnya ialah, dengan pematuhan sebegitu, boleh menyebabkan mereka tidak bertanggungjawab terhadap sebarang masalah. Dan tanpa tanggungjawab mereka tidak akan bertanya, mengambil risiko, gagal, membuka pintu kepada peluang-peluang baru dan seterusnya berjaya.
Masalah lain pula adalah golongan ini sentiasa bekerja pada tahap 100% dan tidak mempunyai masa untuk berfikir dan membuat perancangan. Tiada ruang dan masa untuk mencipta cara yang lebih efisyen untuk menyiapkan kerja-kerja tersebut dan bergerak ke hadapan.
Dalam dunia yang lebih kompleks, dan global kita memerlukan orang yang berani mengambil risiko, bertanggungjawab dan sanggup gagal. Yang berani kehadapan dan tidak hanya menyorok di kalangan kawan sekerja. Untuk mencuba benda atau teknik terbaru yang lebih kreatif dan unik. Untuk merangka kerja mereka sendiri dan apa yang perlu dilakukan seterusnya. Memberi inspirasi kepada pasukan.
Tapi ianya sukar dilakukan oleh golongan yang hanya menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerja 100% kerana mereka sentiasa sibuk.
Tugas utama pengurusan pertengahan tradisional semakin lama semakin kabur. Pengurus pertengahan yang masih kekal perlu mahir dengan skil kepimpinan dan memberi inspirasi kepada kakitangan mereka.
Golongan pandai dan rajin selalunya terdiri daripada pakar-pakar yang mahir dalam tugasan mereka. Pakar-pakar ini mempunyai pengetahuan luas dan mendalam. Pakar-pakar ini boleh membantu menyelesaikan masalah yang spesifik sama ada secara bersendirian atau sebagai sebahagian daripada pasukan.
Pakar-pakar terbaik adalah mereka yang bekerja sendiri.
Pandai dan malas
Menurut Von Manstein, seseorang yang "pandai dan malas layak untuk tugas-tugas kepimpinan tertinggi, kerana dia memiliki intelektual dan kesabaran yang diperlukan untuk keputusan yang sukar."
Golongan ini sentiasa mengadakan masa dan ruang yang diperlukan untuk mencipta dan mencari cara-cara baru untuk maju ke hadapan.
Mereka adalah 'delegator' semula jadi.
Mereka sentiasa mencari cara yang lebih mudah untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Mereka memberi fokus kepada perkara asas, dan mereka benci kepada kesibukan.
Ciri-ciri diatas bukanlah kayu pengukur seorang pemimpin yang berjaya. Masih ada lagi ciri-ciri lain yang penting untuk menjadi seorang pemimpin. Namun begitu, ideologi Von Manstein masih lagi dirasakan relevan pada masa kini.
Setuju tak?
Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan Jeneral Erich von Manstein, Pakcik rekemen korang baca buku Lost Victories: The War Memoirs of Hitler's Most Brilliant General
Comments